Kumpulan Harbour-Link tersenarai agensi penghantar awam terbaik
  • Home
  • News
  • Kumpulan Harbour-Link tersenarai agensi penghantar awam terbaik

Kumpulan Harbour-Link tersenarai agensi penghantar awam terbaik

By In News On April 9, 2017


PENGHARGAAN: Mohammad Medan (lima kiri) menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Urusan Harbour-Link Group Berhad, Francis Yong Piaw Soon sambil disaksikan oleh pasukan pengurusan BPHB dan Harbour.

Antara penyumbang terbesar jumlah kendalian kontena ke Pelabuhan Bintulu

BINTULU: Menjadi sebuah syarikat gergasi tempatan paling berjaya dengan hanya bermula sebagai agensi penghantar di Miri, hari ini Harbour-Link Group Berhad menjadi syarikat penghantaran tersenarai awam terbaik di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan laut dan penghantaran, perkhidmatan logistik bersepadu, kejuruteraan projek dan binaan, angkatan berat dan syarikat pengangkutan khususnya dalam pembangunan hartanah.

Sejak panggilan pertama ke Terminal Kontena Antarabangsa Bintulu (BICT) pada 6 Julai 2006, Harbour- Link Group Berhad telah menyumbang perkhidmatan kontena kepada Pelabuhan Bintulu yang menghubungkan Bintulu ke pasaran domestik, serantau dan Intra Asia.

Selama bertahun Harbour- Link Group Berhad telah menjadi salah sebuah syarikat penyumbang terbesar dalam jumlah pengendalian kontena ke Pelabuhan Bintulu.

Hampir semua laluan perkapalan mereka disambung dan menjadikan BICT sebagai Hab Operasi mereka.

Harbour-Link Group Berhad menyumbang kepada Pelabuhan Bintulu bukan sahaja dalam sektor kontena tetapi juga untuk kargo am dan pukal kering terutamanya dalam pengendalian kargo pelabur di Taman Perindustrian Samalaju.

Mereka penyumbang ketara kepada pertumbuhan Pelabuhan Bintulu secara keseluruhan dan telah membantu dalam membawa manfaat kepada para pelabur Samalaju bagi pembangunan pesat Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Sumbangan penting mereka diperakui Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Mohammad Medan Abdullah semasa kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Harbour- Link Group Berhad pada 5 April lalu di Bintulu.

Dalam pertemuan itu, BPHB merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Harbour-Link Group Berhad yang menyumbang ke arah pembangunan dan pencapaian Pelabuhan Bintulu selama ini.

Pelabuhan Bintulu bertindak sebagai pemudah cara perdagangan dan pemangkin kepada pertumbuhan syarikat-syarikat tempatan dan berkhidmat sebagai gerbang import dan eksport yang berkesan serta penting bagi syarikat-syarikat tempatan untuk merangsang pembangunan Bintulu dan Sarawak.

Tahun lepas, BICT mencapai 14 peratus pertumbuhan pengendalian kontena yang merupakan tertinggi dalam kalangan Pelabuhan Malaysia iaitu dengan mengendalikan sejumlah 277,711 TEUs dan dijangka berkembang lebih baik tahun ini.

Harbour-Link Group Berhad melahirkan penghargaan terhadap segala sokongan yang telah diberikan oleh Pelabuhan Bintulu dalam memastikan aktiviti operasinya lancar dan boleh dipercayai.

Kedua-dua pihak akan terus menjalinkan kerjasama baik dalam perniagaan serta bekerjasama dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak dan negara.

News Source: https://www.utusanborneo.com.my/2017/04/09/kumpulan-harbour-link-tersenarai-agensi-penghantar-awam-terbaik


About the Author

admin