Harbour-Link Group santuni mangsa kebakaran Uma Bakah
By admin In News On July 1, 2024
Ling (lima kanan) menyerahkan sumbangan kepada Pemanca Tony Kulleh sebelum diagih-agihkan kepada mangsa kebakaran.
BINTULU: Harbour-Link Group Berhad sebagai sebuah organisasi yang prihatin terhadap kebajikan rakyat terutama yang memerlukan menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran Uma Bakah, Sungai Asap Belaga pada Jumaat.
Sumbangan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut telah disampaikan oleh wakil Harbour-Link Group Berhad Ling Chong Heng kepada Pemanca Tony Kulleh yang mewakili mangsa kebakaran terbabit di balai raya kawasan penempatan tersebut.
Ling berkata, mereka sentiasa mengambil berat tentang nasib mangsa kebakaran dan berharap bantuan tersebut dapat meringankan sedikit beban mangsa yang terlibat.
“Kita mengharapkan mangsa kebakaran tabah menghadapi tragedi yang menimpa mereka dan terus berusaha untuk menempuh kehidupan baharu,” katanya di sini, hari ini.
Sumbangan untuk ketua-ketua keluarga mangsa kebakaran itu ditempatkan sementara di balai raya sebelum diagih-agihkan kepada mangsa.
Dalam tragedi kebakaran pada 5 Januari lalu, seramai 68 mangsa terdiri daripada 24 lelaki, 30 perempuan dan 14 kanak-kanak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah panjang mereka iaitu Uma Bakah 15 pintu Blok F musnah sepenuhnya dan satu pintu Blok E pula musnah 40 peratus.
Mangsa dilaporkan selamat dalam kejadian tersebut dengan api dapat dikawal dari merebak ke blok-blok pintu rumah panjang berdekatan hasil tindakan awal dan pantas Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Uma Daro Sungai Asap yang berjarak empat kilometer sebelum ketibaan pasukan bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga yang jaraknya 95km dari lokasi kejadian.
News Source: https://www.utusanborneo.com.my/2023/01/07/harbour-link-group-santuni-mangsa-kebakaran-uma-bakah
