Bursa Malaysia tambah konstituen baharu F4GBM, F4GBMS
By admin In News On June 13, 2024
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd hari ini mengumumkan 12 konstituen baharu bagi Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan sembilan penambahan kepada Indeks Syariah FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBMS).
Dalam satu kenyataan mengenai semakan separuh tahun terkini indeks, ia berkata 12 penambahan itu menjadikan jumlah konstituen kepada 120, mewakili peningkatan 400 peratus sejak indeks itu dilancarkan pada Disember 2014 dengan hanya 24 konstituen.
“Secara berasingan, Indeks F4GBMS akan berlaku sembilan penambahan dan satu pengguguran, menjadikan konstituen indeks kepada 95. Semua perubahan konstituen akan berkuat kuasa pada permulaan perniagaan 24 Jun 2024 (Isnin),” katanya.
Konstituen baharu Indeks F4GBM ialah Bank Islam Malaysia, Carimin Petroleum, Harbour-Link Group, Icon Offshore, Pecca Group, dan Petron Malaysia Refining and Marketing (Petron).
Turut ditambah dalam indeks ialah QL Resources, Shangri-La Hotels (Malaysia), Sports Toto, Sunway, Wasco, dan YTL Power International.
Sementara itu, penambahan baharu kepada indeks Syariah ialah Bank Islam Malaysia, Carimin Petroleum, Icon Offshore, Pecca Group, Petron, QL Resources, Shangri-La Hotels, Sunway dan Wasco, manakala Eco World International digugurkan.
ndeks F4GBM mengukur prestasi syarikat tersenarai awam (PLC) dengan kecairan yang baik, menunjukkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang teguh.
Konstituen dipilih daripada PLC pada Indeks EMAS FTSE Bursa Malaysia, yang terdiri daripada PLC yang layak daripada segmen permodalan pasaran kecil, sederhana dan besar.
Sementara itu, Indeks F4GBMS menjejaki konstituen dalam F4GBM yang patuh Syariah, menurut metodologi penyaringan Majlis Penasihat Syariah.
Kedua-dua indeks disemak setiap setengah tahun pada bulan Jun dan Disember, ditetapkan berdasarkan kriteria antarabangsa.
Bursa Malaysia telah bekerjasama dengan peserta ekosistem lain, seperti institusi kewangan dan pelabur institusi, untuk terus memberi insentif kepada PLC bagi memajukan perjalanan ESG masing-masing.
Peningkatan berterusan dalam bilangan konstituen mencerminkan keberkesanan program ini, serta peningkatan penggunaan amalan ESG oleh PLC.
Ia berkata penarafan ESG (Grading Band) untuk Indeks F4GBM dan Indeks F4GBMS akan tersedia di laman web bursa selepas 24 Jun 2024 melalui pautan.
News Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2024/06/1258393/bursa-malaysia-tambah-konstituen-baharu-f4gbm-f4gbms
