Peserta Kem GRADUAN timba pengalaman berharga di Harbour Link Group Berhad

Peserta Kem GRADUAN timba pengalaman berharga di Harbour Link Group Berhad

By In News On August 11, 2018



PARA peserta GRADUAN ‘National Inter-Varsity Cultural Camp 4.0’ melalui pengalaman yang amat bermakna dan berguna dengan menerokai budaya, adat resam serta melihat pembangunan di Bintulu sebagai bandar pengeluar minyak dan gas yang begitu pesat membangun sepanjang tiga hari berada di Bintulu.

Beberapa peserta yang ditemui menyatakan rasa bertuah kerana dapat menyertai program itu yang bukan sahaja meningkatkan ilmu pengetahuan, bahkan membuka minda mereka untuk mengetahui adat resam dan budaya masyarakat di sesuatu tempat terutama di Sarawak.

Ketua program Joy Lim Wan Yu berkata, lawatan pihaknya ke pelbagai tempat di Bintulu diharap akan memudahkan mereka memahami sejarah dan budaya masyarakatnya dengan lebih mendalam, sekali gus menimba ilmu pengetahuan di luar kelas terutamanya ketika membuat lawatan ke beberapa tempat terkenal yang menyajikan pelbagai budaya, menganjurkan permainan berstesen sambil berinteraksi dengan penduduk setempat.

“Semasa lawatan ke syarikat logistik Harbour-Link Group Berhad dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) misalnya, kami diberikan peluang mendengar taklimat berkaitan transformasi Bintulu dari sebuah kampung nelayan ke sebuah bandar pelabuhan penting di Sarawak hasil daripada penerokaan sumber gas asli termasuk perkembangan pembangunan pelabuhan laut dalamnya,” tambahnya.

Peserta program Chan Say Hao berkata, beliau melihat pelbagai kaum di negeri ini dapat hidup bersama dengan aman dan harmoni meskipun mempunyai pegangan agama yang berbeza.

Kekaguman beliau semakin bertambah dengan budaya hidup masyarakat negeri ini apabila dapat melihat masyarakat Islam di negeri ini tidak kekok makan dan minum di restoran yang dimiliki kaum Cina sedangkan keadaan itu jarang dapat dilihat di Semenanjung.

Selain itu, peserta Ang Shaw Bing pula menyifatkan layanan penduduk tempatan amat mesra semasa membantu mereka dalam pelbagai program yang diadakan.

“Penduduk tempatan bukan sahaja berbual-bual dengan kami malahan ingin mengetahui asal usul kami serta memberikan bantuan semasa kami menjalankan permainan berstesen,” ujarnya.

Terdahulu semasa lawatan sambil belajar ke BDA, para peserta diberi penerangan mengenai fungsi pihak berkuasa tempatan tersebut sebagai penggerak pembangunan bandar Bintulu dan visinya untuk mencapai status bandar raya pada 2025.

Pembangunan lain yang turut ditekankan adalah dalam bidang pertanian seperti tanaman kelapa sawit dan lada hitam sebagai sumber ekonomi penduduk tempatan, serta fokus untuk membangun aspek ekopelancongan.

Lokasi lain yang dilawati peserta bagi memahami pembangunan budaya di bandar Bintulu ialah Pasar Tamu dan Pasar Utama Bintulu, Tokong Tua Pek Kong dan Monumen Tugu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lama di pusat bandar lama Bintulu dan Harbour-Link Group Berhad yang merupakan satu-satunya syarikat logistik tersenarai di Bintulu serta antara syarikat terbesar di Malaysia Timur.

Semasa lawatan ke Harbour-Link, para peserta diberikan penerangan mengenai sejarah dan pembangunan perkhidmatan pengangkutan dan logistik di Bintulu, memahami latar belakang, operasi dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi syarikat itu serta cara mengendali dan menguruskan sesebuah syarikat.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Graduan Muda Malaysia (GRADUAN) Lee Seang Hock berkata, para peserta diharap dapat mengambil inisiatif untuk memahami pembangunan sesebuah bandar serta membabitkan diri dalam pembangunan industri antaranya dalam sektor industri logistik pada masa hadapan.

Katanya, industri logistik mempunyai potensi besar untuk berkembang kerana perkhidmatan tersebut amat diperlukan dalam pelbagai industri lain.

 

News Link: https://www.utusanborneo.com.my/2018/08/11/peserta-kem-graduan-timba-pengalaman-berharga


Comments are closed here.

shipping | forwarding | transportation | container shipping | heavylifting | equipment rental | engineering & construction | property development
Disclaimer | Terms of Use | Privacy Policy
スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino